Wednesday, June 2, 2010

HAK MUSLIM SALING MEMBANTU DAN TIDAK SAKITI SESAMA MEREKA

Sebahagian daripada hak Muslim ialah merasa sayang untuk Muslim apa saja yang kamu sayangi untuk diri sendiri. Apa yang kamu kehendaki orang lakukan untuk dirimu, demikianlah juga sepatutnya kamu lakukan untuk Muslim lain. Begitu juga menjadi hak Muslim membenci apa juga yang dibenci sebagaimana kamu membencinya. Tidak melakukan kepada orang lain sebagaimana kamu benci orang lain lakukan ke atas dirimu.
Sabda Rasulullah saw membuat bandingan antara seorang mukmin dengan mukmin lain melalui sabdanya yang bermaksud: ‘Perbandingan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain dari segi kasih mesra di hati dan bergilir emosi kasih sayang ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggota sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam’.
Terdengar jerit tangis umat Islam tertindas di pelbagai pelusuk alam, tetapi tidak kedengaran saudaranya yang terdekat atau yang jauh datang bantu meredakan derita tangisan tersebut. Ini menunjukkan kebanyakkan umat Islam belum upaya meningkat ke tahap Mukmis, seperti yang disabdakan oleh Nabi saw. Jika Mukmin mereka pasti turut merasai demam dan tidak tidur malam, kerana memikirkan untuk bantu saudaranya yang tertindas itu. Andainya mereka di tahap Mukmin mesti bergegas datang walaupun jauh, jika tidak terdaya hadirkan diri untuk menolong kerana halangan tertentu, sekurang-kurangnya mereka wujudkan dana atau apa saja untuk bantu meringankan penderitaan saudara Mukminnya itu.
Sekalipun berlainan warga negara, etnik dan warna kulit, hanya ibarat berlainan nama jenis anggota badan. Namun pada hakikatnya orang beriman di serata dunia adalah laksana tubuh yang satu. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ‘Orang Mukmin disamping Mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain’. Suatu yang amat jelas peranan orang Mukmin di sisi Mukmin yang lain, saling bantu membantu antara mereka ibarat binaan saling mengukuhkan struktur, antara beberapa bahan binaan dengan bahan binaan yang lain.
Hak orang Islam lagi antaranya ialah tidak menyakiti antara satu dengan yang lain, mahupun daripada jenis perbuatan ataupun ucap perkataan, sebagaimana dijelaskan oleh sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘Orang Islam sebenar ialah; orang Islam lain selamat daripada bencana lidahnya serta tangan dan kakinya. Orang beriman ialah orang yang aman daripada diri dan hartanya. Orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan dan menjauhinya’.
Lidahnya tidak diguna untuk mengata buruk, memfitnah juga tidak menipu dan mengadu domba, tangan serta kakinya tidak diguna untuk mencuri harta serta tidak menyakiti orang Islam lain. Jika orang lain tidak selamat dengan kewujudan manusia sebegini, bererti dia tidak memiliki ciri Islam sebenar. Ini kerana menurut Nabi saw orang Islam ialah orang yang menyerah kepada agama Allah dan memberi keselamatan.
Orang beriman ialah orang lain aman daripada diri dan hartanya, orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan akhlak dan akidah yang salah serta menjauhinya. Sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘Tidak halal bagi orang Islam berbuat sesuatu yang boleh menimbulkan rasa gerun di hati orang lain’. Gerun mungkin dengan ugutan atau kata buruk berupa ancaman serta buat kezaliman dalam bentuk kekerasan yang boleh menimbulkan rasa takut dan gerun merupakan perkara yang dilarang oleh Islam kecuali hukuman Hudud yang dikehendaki oleh Allah SWT, supaya dilaksanakan ke atas penjenayah yang sudah disabitkan oleh mahkamah.
Sebahagian daripada tanggungjawab setiap orang sebagai ahli masyarakat ialah mesti tawaduk (berakhlak dan merendah diri) serta tidak takbur, membesar membanggakan diri walau setinggi mana ilmu yang dikuasai atau pangkat kedudukan dalam masyarakat. Apabila berhadapan sesama Islam hendaklah bersikap berakhlak dan merendah diri sama ada dari sudut tutur kata atau tingkah laku.
Hak orang Islam juga tidak mendengar segala buah mulut manusia antara satu sama lain, kerana buah mulut itu tidak semuanya memberi manfaat, bahkan boleh mencetuskan krisis sengketa dalam masyarakat. Tidak boleh sama sekali menyampaikan kata-kata yang didengar daripada seseorang kepada orang yang berkenaan. Sebaiknya segera ditegur semasa mendengar cemuhan jika faktanya tidak benar atau tinggalkan saja orang berkenaan agar tidak terbabit dalam perkara bercanggah dengan syarak.
Dijelaskan di dalam hadis Nabi saw yang bermaksud: ‘Tidak akan masuk syurga orang yang adu domba manusia (Qottatun)’. Amaran keras daripada Nabi saw kepada golongan melaga-lagakan manusia itu kerana dengan sikapnya yang buruk itu akan mendatangkan huru-hara, perbalahan dalam masyarakat. Dilarang keras bagi yang bersengketa hingga tidak bertegur sapa melebihi tiga (3) hari walaupun terlau marah. Allah SWT menjadikan manusia bersifat lemah dan kekurangan yang mungkin terjerumus ke jurang perbalahan, justeru diciptakan pula peraturan yang sesuai dengan sifat kekurangan yang ada pada manusia itu.
Lantaran sifat marah itu dikurniakan kepada manusia bermanfaat jika sesuai pada tempatnya, tetapi boleh menerbitkan perbalahan adalah hasil dari sifat tersebut. Selagi boleh, elakkanlah perbalahan. Tidak bertegur sapa akibat perbalahan dimaafkan oleh syarak sekiranya tidak melebihi tiga (3) hari, sebagai peraturan setimpal meraikan sifat manusia yang pemarah itu.

Sunday, May 2, 2010

KADAR GANJARAN BERDASARKAN TAHAP CINTA KEPADA ALLAH

FIRMAN Allah SWT dalam surah Al-Lail yang bermaksud: “Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu” (ayat 17), “yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya” (ayat 18), “padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya” (ayat 19), “tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi” (ayat 20), “dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan (keredhaan).” (ayat 21).

Pada ayat tersebut Allah SWT memuji orang yang memiliki harta lalu menderma kerana Allah SWT, Tuhan beri keredhaan-Nya kepada orang jenis tersebut. Sayidina Abu Bakar as Siddiq r.a apabila mengetahui turunnya ayat tersebut ketika keluarganya sedang dilanda peristiwa fitnah, membabitkan puteri tersayangnya yang juga Ummul Mukminin Siti Aisyah r.anha yang difitnah oleh puak munafikin kononnya beliau berlaku curang bersama seorang sahabat. Orang itu ialah sahabat yang selama ini dibantu oleh Abu Bakar r.a telah terlibat dalam menyebarkan fitnah tersebut. Abu Bakar tersinggung dan pedih hati lantas menghentikan bantuan yang selama ini dilakukannya.

Sebaik sahaja Abu Bakar dapat tahu wahyu Allah SWT yang berkaitan dengannya telah turun, lantas beliau bertaubat mohon ampun kepada-Nya. Serta-merta beliau menyambung semula bantuan kepada orang yang terlibat dalam penyebaran fitnah itu.

Abu Bakar wajar meneruskan bantuan serta memaafkan kesilapan orang itu dalam penyebaran fitnah, lantaran pelbagai kebaikan telah dilakukannya. Takkan kebaikannya lenyap hanya dengan satu kesilapan.

Janji Allah SWT dalam surah Al-Lail itu menyebabkan Abu Bakar sedar betapa tidak wajar tindakan memberhentikan bantuan. Beliau menyambung semula membantu orang yang sewajarnya menerima bantuan. Sebagai manusia biasa Abu Bakar sememangnya tersinggung apabila orang yang selama ini dibantu kehidupannya, tiba-tiba membabitkan diri dalam memfitnah Siti Aisyah puteri kesayangannya dalam perkara menjejaskan maruah. Sebaik sahaja mendengar janji Allah SWT melalui wahyu yang baru turun memuji orang yang menafkahkan harta di jalan-Nya, beliau segera membantu semula demi mendapatkan keampunan Allah SWT dan redha-Nya.

Al-Ghazali telah mengambil kehidupan Abu Bakar sebagai teladan utama, yang hatinya penuh kasih kepada Allah SWT. Beliau sanggup melupakan isu penyebaran fitnah yang menyentuh maruah keluarganya dan Nabi SAW.

Kesimpulannya, bahawa orang yang kasih kepada seorang alim, abid (ahli ibadah) , atau kasih kepada seseorang yang kasih terhadap ilmu atau kepada ibadatnya atau harta kebajikannya, maka kasihnya itu ialah demi kerana Allah SWT. Ganjaran pahala yang bakal diterima di akhirat kelak mengikut kadar kasihnya kepada Allah SWT. Jika cintanya sepenuh hati dan mendalam, balasannya demikian juga. Sebaliknya jika kadar kasihnya tipis kepada Tuhan, maka tipislah juga pahala yang diterima.

Masalah kasih perlu digerak oleh pendidik serta ibu bapa terhadap naluri cinta yang sedia ada di hati manusia, supaya manusia benar-benar cinta kepada Allah SWT. Janganlah melaksanakan tuntutan agama hanya setelah digesa oleh ibu bapa, atau dorongan masyarakat sekeliling.

Satu tahap lagi yang perlu diusahakan iaitu beribadat berpaksikan pada kasih dan cinta kepada Allah SWT, jika seseorang melakukan solat tetapi tidak mengasihi Tuhan, lama kelamaan ibadat solat sekadar tradisi dan adat.

Contoh ibadat solat tanpa cinta kepada Allah SWT iaitu tidak merasa lazat ketika melaksanakannya, tidak merasa debar di hati jika sesuatu yang menyimpang dan salah terjadi dalam solat. Ibadat solat menjadi adat kerana sekadar melihat orang ramai tunai solat di masjid, dia pun pergi sama tunai solat sekadar ikut-ikut.

Pendidik dan ibu bapa perlu asuh murid dan anak-anak supaya beribadat berdasarkan kasih kepada Allah SWT. Agar terbit rasa cinta kepada solat dan kepada yang memfardhukan iaitu Allah SWT. Melaksanakan amal mesti serentak dengan hati yang kasih.

Adapun kasih kerana Allah SWT dan benci kerana-Nya adalah perkara yang amat rumit. Walau bagaimanapun tudung kerumitan itu akan terbuka juga, dengan beberapa kenyataan yang akan disebut selepas ini. Sebelum mendampingi Allah SWT dan Nabi-Nya, sewajarnya terlebih dahulu bersahabat sesama manusia.

Bersahabat sesama manusia ada kalanya berlaku secara kebetulan, disebabkan berjiran dengannya dan sering bertemu di masjid. Atau di pejabat, sesama pegawai kerajaan bertemu dalam bilik mesyuarat, juga dalam kapal (pesawat) ketika semasa umrah atau melancong. Tetapi ada juga bersahabat rapat kerana ikhtiar yang diusahakan, inilah yang dikehendaki oleh Islam.

Semua manusia perlu mengetahui perkara tersebut. Persahabatan dalam agama berlaku setelah diusahakan seperti dalam bahagian kedua ini. Tuhan beri pahala disebabkan usaha ikhtiar manusia, bukannya kerana dirinya daripada keturunan keluarga Islam. Allah SWT hendak beri syurga suatu yang amat berharga kepada manusia. Justeru ia bukanlah secara kebetulan sebaliknya membabitkan jihad dan usaha gigih.


Artikel ini merupakan tazkirah pena YAB Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Lawati blog beliau http://blogtokguru.com

Saturday, May 1, 2010

PERINGATAN AGAMA DIPERLUKAN KETIKA MUSAFIR

ADAB musafir seterusnya hendaklah ada rakan seperjalanan, ditegah keluar musafir bersendirian. Pastikan hanya dengan rakan seperjalanan yang baik sebelum musafir, bukan kawan yang tidak peduli ketika kawan seperjalanan ditimpa kesusahan.
Cari rakan yang dapat menolong dalam masalah agama, agar boleh beri peringatan ketika rakan seperjalanan dalam keadaan lupa atau lalai. Jika kita tidak terlupa ketika itu dia tolong bantu melaksanakan tuntutan agama. Sabda Nabi saw yang bermaksud : "Seseorang manusia diukur atas buruk baiknya perangai rakan rapatnya". Sesungguhnya dalam hadisnya, Nabi saw telah melarang umatnya yang hendak bermusafir jauh secara bersendirian. Apabila tiga orang bermusafir hendaklah lantik seorang daripadanya menjadi ketua (amir).
Sabda Nabi saw itu menyatakan dengan jelas bahawa kehidupan umat Islam terikat dengan berjemaah. Patuhi ketua (imam) bukan dalam solat fardhu berjemaah sahaja, tetapi juga dalam kehidupan harian terutamanya ketika musafir atau kembara jauh. Hendaklah mereka melantik amir dikalangannya orang yang perangai terbaik dari semua sudut. Perangai elok dari segi budi pekerti ialah lemah lembut, dari segi harta kekayaan ialah murah hati tidak kedekut. Dari segi akal minda ialah suka memberi buah fikiran dan nasihat berfaedah dengan nas dan hujah.
Orang yang dilantik sebagai ketua itu sewajarnya bertolak ansur dan lemah lembut terhadap rakan teman, memikirkan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri. Ketua ialah mereka yang suka bermuafakat mengelak daripada perselisihan. Manusia amat memerlukan pimpinan ketua, kerana mereka sentiasa berlainan pandangan dalam permasalahan musafir.
Tidak wujud peraturan (nizam) dan disiplin, kecuali orang ramai berada di bawah satu kepimpinan yang dihormati. Perbalahan terjadi lantaran berlaku pertembungan pendapat yang berbeza. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Tiap-tiap manusia berbuat menurut keadaannya masing-masing".(Surah Al-Isra ayat 84).
Allah SWT menjelaskan bahawa manusia memiliki keadaan yang berbeza-beza, situasi itu mudah menjerumuskan mereka kepada perselisihan fikiran dan pendapat. Oleh kerana manusia keadaannya berbeza, maka Allah SWT mengajar manusia bersatu di bawah pimpinan seorang ketua, meski seramai mana mereka akan terhindar daripada perbalahan. Dengan syarat ketua yang dipilih tidak pentingkan diri sendiri, iaitu orang yang mempunyai sifat-sifat terpuji seperti yang dimiliki oleh Nabi saw.

Tazkirah Tn Guru Nik Aziz Nik Mat

Friday, April 30, 2010

BERSEDERHANA DALAM SEMUA PERKARA DAN URUSAN

ADAPUN dua kaki hendaklah digunakan sepenuhnya untuk memperkukuhkan persahabatan. Waspada agar tidak melangkah untuk duduk ke hadapan kecuali sekadar mana peluang yang diberi untuk berbuat demikian. Jangan gunakan kaki untuk tujuan duduk rapat dengan seseorang kecuali setakat mana kesempatan yang diberi untuk berbuat demikian.

Apabila kawan dikenali atau siapa saja yang datang hendaklah segera bangun berdiri tanda hormat mengalu-alu dan selamat datang atas kehadirannya. Duduklah dengan tawaduk dimana sahaja diberi kesempatan duduk. Berbeza dengan duduk atas urusan Allah SWT pada saf dalam masjid yang mempunyai fadilat tertentu. Tuhan yang mengatur cara dan kaedahnya iaitu dituntut duduk di masjid pada saf pertama di hadapan. Setelah penuh pada saf pertama, baru binalah saf kedua dan seterusnya. Ditegah duduk pada saf belakang sedangkan saf hadapan masih belum penuh. Dilarang pergi ke saf hadapan dengan melangkahi bahu orang yang duduk di masjid. Cara mengatasinya ialah penuhkan dahulu saf hadapan.

Pada bahagian akhir, mengenai adap dan tatasusila dalam bergaul serta duduk bersama semajlis, menghadapi pelbagai perangai dan tabiat manusia, seperti yang dijelaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Katakanlah (hai Muhammad); Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya’. (surah Al Israa,ayat 84). Termasuk dalam pengertian ‘keadaan’ di sini ialah tabiat dan pengaruh alam sekitarnya. Walaupun ada pendapat mengatakan bahawa dunia ini terdapat tujuh (7) orang yang serupa, namun pada hakikatnya hanya serupa dari segi rupa sahaja. Tidak dari segi perangai dan wataknya. Ia tetap berbeza dari segi kefahaman akidahnya seperti yang dinyatakan pada ayat diatas. Oleh kerana manusia keadaannya yang pelbagai, maka cara berbincang juga dengan kaedah yang berbeza. Mengatasinya ialah dengan bercakap secara umum sahaja.

Sebahagian daripada adab duduk bersama semajlis, menurut sebahagian orang bijak pandai Islam; jika seseorang hendak bercampur gaul dan cara baik dengan pelbagai golongan, hendaklah perlihatkan wajah berseri sama ada terhadap kawan atau lawan. Ini kerana wajah berseri jika diperlihatkan kepada kawan, mereka akan lebih tertarik dan mudah menerima pandangan atau nasihat, jika kepada musuh, mereka akan merasa malu, kerana segala gerak geri manusia itu dikemudi oleh hatinya, wajah senyum berseri adalah bayangan hati yang murni.

Hendaklah perlihatkan yang seseorang itu mempunyai harga diri, tetapi tidak sampai kepada membesar diri (takabbur). Di samping itu perlihatkan juga sikap merendah diri (tawaduk), tetapi tidak sampai terjerumus ke lembah menghina diri, kerana ia haram di sisi Islam. Untuk menghadapi segala aktiviti kehidupan hendaklah seimbang iaitu secara sederhana (wasato) sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘sebaik-baik urusan ialah secara sederhana (seimbang)’. Misalnya berhadapan masalah harta kekayaan, sama ada manusia bersikap boros (israf) berbelanja tanpa batasan. Lawannya ialah sikap kedekut (bakhil) atau dengan bahasa mudah sebagai ‘genggam tidak tiris’.

Diantara kedua sifat buruk ‘boros dan kedekut’ itu ialah murah hati. Ada ketika dia boros dan ada masanya dia kedekut, jika pada perkara yang baik seperti untuk bina masjid dan seumpamanya dia bersikap pemurah. Tetapi pada perkara yang buruk atau maksiat, dia kedekut. Walau setengah sen pun dia tidak akan beri kepada perkara yang mendatangkan dosa (maksiat).

Begitulah juga masalah sikap ‘berani’, menjadi sifat yang terpuji jika bertindak di atas kadar sederhana, tetapi ia akan menjadi sifat negatif jika berani secara ‘membabi buta’. Di sebalik sikap berani ialah sifat pengecut, di antara dua sikap itu ialah berpandukan kepada nasihat agama iaitu sentiasa bersikap sederhana (seimbang) dengan segala pekerjaan dan urusan. Bersikap sederhana dalam semua perkara sama ada dalam masalah berbelanja atau masalah perangai dan tingkah laku mestilah dalam keadaan sederhana sepanjang masa.

Begitu juga bagi Nabi saw semestinya bersikap sederhana sebagaimana ajarannya yang dianjurkan kepada umatnya. Tetapi dalam perkara kebaikan Nabi saw lebih sedikit daripada sederhana lebih kepada pemurah, sesuai dengan sifatnya sebagai pemimpin ummah. Nabi saw dalam masalah harta benda terutamanya pada bulan Ramadan sebagaimana yang diriwayatkan: Adapun Nabi saw terlalu pemurah terutamanya pada bulan Ramadan, laksana dedaun kering yang berguguran oleh tiupan angin taufan yang kencang.

Apakah hikmahnya anjuran supaya hidup bersederhana, kerana di kiri dan kanan sifat sederhana itu ialah perangai tercela yang dimurkai Tuhan. Jika sederhana dalam hal harta benda, di kiri kanannya ialah boros dan kedekut. Jika sederhana dalam sifat berani ialah berani membabi buta dan pengecut. Kedua sikap negatif dalam semua perkara itu memang dimurkai oleh Tuhan.

Tazkirah Tn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.