Friday, April 30, 2010

BERSEDERHANA DALAM SEMUA PERKARA DAN URUSAN

ADAPUN dua kaki hendaklah digunakan sepenuhnya untuk memperkukuhkan persahabatan. Waspada agar tidak melangkah untuk duduk ke hadapan kecuali sekadar mana peluang yang diberi untuk berbuat demikian. Jangan gunakan kaki untuk tujuan duduk rapat dengan seseorang kecuali setakat mana kesempatan yang diberi untuk berbuat demikian.

Apabila kawan dikenali atau siapa saja yang datang hendaklah segera bangun berdiri tanda hormat mengalu-alu dan selamat datang atas kehadirannya. Duduklah dengan tawaduk dimana sahaja diberi kesempatan duduk. Berbeza dengan duduk atas urusan Allah SWT pada saf dalam masjid yang mempunyai fadilat tertentu. Tuhan yang mengatur cara dan kaedahnya iaitu dituntut duduk di masjid pada saf pertama di hadapan. Setelah penuh pada saf pertama, baru binalah saf kedua dan seterusnya. Ditegah duduk pada saf belakang sedangkan saf hadapan masih belum penuh. Dilarang pergi ke saf hadapan dengan melangkahi bahu orang yang duduk di masjid. Cara mengatasinya ialah penuhkan dahulu saf hadapan.

Pada bahagian akhir, mengenai adap dan tatasusila dalam bergaul serta duduk bersama semajlis, menghadapi pelbagai perangai dan tabiat manusia, seperti yang dijelaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Katakanlah (hai Muhammad); Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya’. (surah Al Israa,ayat 84). Termasuk dalam pengertian ‘keadaan’ di sini ialah tabiat dan pengaruh alam sekitarnya. Walaupun ada pendapat mengatakan bahawa dunia ini terdapat tujuh (7) orang yang serupa, namun pada hakikatnya hanya serupa dari segi rupa sahaja. Tidak dari segi perangai dan wataknya. Ia tetap berbeza dari segi kefahaman akidahnya seperti yang dinyatakan pada ayat diatas. Oleh kerana manusia keadaannya yang pelbagai, maka cara berbincang juga dengan kaedah yang berbeza. Mengatasinya ialah dengan bercakap secara umum sahaja.

Sebahagian daripada adab duduk bersama semajlis, menurut sebahagian orang bijak pandai Islam; jika seseorang hendak bercampur gaul dan cara baik dengan pelbagai golongan, hendaklah perlihatkan wajah berseri sama ada terhadap kawan atau lawan. Ini kerana wajah berseri jika diperlihatkan kepada kawan, mereka akan lebih tertarik dan mudah menerima pandangan atau nasihat, jika kepada musuh, mereka akan merasa malu, kerana segala gerak geri manusia itu dikemudi oleh hatinya, wajah senyum berseri adalah bayangan hati yang murni.

Hendaklah perlihatkan yang seseorang itu mempunyai harga diri, tetapi tidak sampai kepada membesar diri (takabbur). Di samping itu perlihatkan juga sikap merendah diri (tawaduk), tetapi tidak sampai terjerumus ke lembah menghina diri, kerana ia haram di sisi Islam. Untuk menghadapi segala aktiviti kehidupan hendaklah seimbang iaitu secara sederhana (wasato) sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘sebaik-baik urusan ialah secara sederhana (seimbang)’. Misalnya berhadapan masalah harta kekayaan, sama ada manusia bersikap boros (israf) berbelanja tanpa batasan. Lawannya ialah sikap kedekut (bakhil) atau dengan bahasa mudah sebagai ‘genggam tidak tiris’.

Diantara kedua sifat buruk ‘boros dan kedekut’ itu ialah murah hati. Ada ketika dia boros dan ada masanya dia kedekut, jika pada perkara yang baik seperti untuk bina masjid dan seumpamanya dia bersikap pemurah. Tetapi pada perkara yang buruk atau maksiat, dia kedekut. Walau setengah sen pun dia tidak akan beri kepada perkara yang mendatangkan dosa (maksiat).

Begitulah juga masalah sikap ‘berani’, menjadi sifat yang terpuji jika bertindak di atas kadar sederhana, tetapi ia akan menjadi sifat negatif jika berani secara ‘membabi buta’. Di sebalik sikap berani ialah sifat pengecut, di antara dua sikap itu ialah berpandukan kepada nasihat agama iaitu sentiasa bersikap sederhana (seimbang) dengan segala pekerjaan dan urusan. Bersikap sederhana dalam semua perkara sama ada dalam masalah berbelanja atau masalah perangai dan tingkah laku mestilah dalam keadaan sederhana sepanjang masa.

Begitu juga bagi Nabi saw semestinya bersikap sederhana sebagaimana ajarannya yang dianjurkan kepada umatnya. Tetapi dalam perkara kebaikan Nabi saw lebih sedikit daripada sederhana lebih kepada pemurah, sesuai dengan sifatnya sebagai pemimpin ummah. Nabi saw dalam masalah harta benda terutamanya pada bulan Ramadan sebagaimana yang diriwayatkan: Adapun Nabi saw terlalu pemurah terutamanya pada bulan Ramadan, laksana dedaun kering yang berguguran oleh tiupan angin taufan yang kencang.

Apakah hikmahnya anjuran supaya hidup bersederhana, kerana di kiri dan kanan sifat sederhana itu ialah perangai tercela yang dimurkai Tuhan. Jika sederhana dalam hal harta benda, di kiri kanannya ialah boros dan kedekut. Jika sederhana dalam sifat berani ialah berani membabi buta dan pengecut. Kedua sikap negatif dalam semua perkara itu memang dimurkai oleh Tuhan.

Tazkirah Tn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

0 comments: