Sunday, May 2, 2010

KADAR GANJARAN BERDASARKAN TAHAP CINTA KEPADA ALLAH

FIRMAN Allah SWT dalam surah Al-Lail yang bermaksud: “Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu” (ayat 17), “yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya” (ayat 18), “padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya” (ayat 19), “tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi” (ayat 20), “dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan (keredhaan).” (ayat 21).

Pada ayat tersebut Allah SWT memuji orang yang memiliki harta lalu menderma kerana Allah SWT, Tuhan beri keredhaan-Nya kepada orang jenis tersebut. Sayidina Abu Bakar as Siddiq r.a apabila mengetahui turunnya ayat tersebut ketika keluarganya sedang dilanda peristiwa fitnah, membabitkan puteri tersayangnya yang juga Ummul Mukminin Siti Aisyah r.anha yang difitnah oleh puak munafikin kononnya beliau berlaku curang bersama seorang sahabat. Orang itu ialah sahabat yang selama ini dibantu oleh Abu Bakar r.a telah terlibat dalam menyebarkan fitnah tersebut. Abu Bakar tersinggung dan pedih hati lantas menghentikan bantuan yang selama ini dilakukannya.

Sebaik sahaja Abu Bakar dapat tahu wahyu Allah SWT yang berkaitan dengannya telah turun, lantas beliau bertaubat mohon ampun kepada-Nya. Serta-merta beliau menyambung semula bantuan kepada orang yang terlibat dalam penyebaran fitnah itu.

Abu Bakar wajar meneruskan bantuan serta memaafkan kesilapan orang itu dalam penyebaran fitnah, lantaran pelbagai kebaikan telah dilakukannya. Takkan kebaikannya lenyap hanya dengan satu kesilapan.

Janji Allah SWT dalam surah Al-Lail itu menyebabkan Abu Bakar sedar betapa tidak wajar tindakan memberhentikan bantuan. Beliau menyambung semula membantu orang yang sewajarnya menerima bantuan. Sebagai manusia biasa Abu Bakar sememangnya tersinggung apabila orang yang selama ini dibantu kehidupannya, tiba-tiba membabitkan diri dalam memfitnah Siti Aisyah puteri kesayangannya dalam perkara menjejaskan maruah. Sebaik sahaja mendengar janji Allah SWT melalui wahyu yang baru turun memuji orang yang menafkahkan harta di jalan-Nya, beliau segera membantu semula demi mendapatkan keampunan Allah SWT dan redha-Nya.

Al-Ghazali telah mengambil kehidupan Abu Bakar sebagai teladan utama, yang hatinya penuh kasih kepada Allah SWT. Beliau sanggup melupakan isu penyebaran fitnah yang menyentuh maruah keluarganya dan Nabi SAW.

Kesimpulannya, bahawa orang yang kasih kepada seorang alim, abid (ahli ibadah) , atau kasih kepada seseorang yang kasih terhadap ilmu atau kepada ibadatnya atau harta kebajikannya, maka kasihnya itu ialah demi kerana Allah SWT. Ganjaran pahala yang bakal diterima di akhirat kelak mengikut kadar kasihnya kepada Allah SWT. Jika cintanya sepenuh hati dan mendalam, balasannya demikian juga. Sebaliknya jika kadar kasihnya tipis kepada Tuhan, maka tipislah juga pahala yang diterima.

Masalah kasih perlu digerak oleh pendidik serta ibu bapa terhadap naluri cinta yang sedia ada di hati manusia, supaya manusia benar-benar cinta kepada Allah SWT. Janganlah melaksanakan tuntutan agama hanya setelah digesa oleh ibu bapa, atau dorongan masyarakat sekeliling.

Satu tahap lagi yang perlu diusahakan iaitu beribadat berpaksikan pada kasih dan cinta kepada Allah SWT, jika seseorang melakukan solat tetapi tidak mengasihi Tuhan, lama kelamaan ibadat solat sekadar tradisi dan adat.

Contoh ibadat solat tanpa cinta kepada Allah SWT iaitu tidak merasa lazat ketika melaksanakannya, tidak merasa debar di hati jika sesuatu yang menyimpang dan salah terjadi dalam solat. Ibadat solat menjadi adat kerana sekadar melihat orang ramai tunai solat di masjid, dia pun pergi sama tunai solat sekadar ikut-ikut.

Pendidik dan ibu bapa perlu asuh murid dan anak-anak supaya beribadat berdasarkan kasih kepada Allah SWT. Agar terbit rasa cinta kepada solat dan kepada yang memfardhukan iaitu Allah SWT. Melaksanakan amal mesti serentak dengan hati yang kasih.

Adapun kasih kerana Allah SWT dan benci kerana-Nya adalah perkara yang amat rumit. Walau bagaimanapun tudung kerumitan itu akan terbuka juga, dengan beberapa kenyataan yang akan disebut selepas ini. Sebelum mendampingi Allah SWT dan Nabi-Nya, sewajarnya terlebih dahulu bersahabat sesama manusia.

Bersahabat sesama manusia ada kalanya berlaku secara kebetulan, disebabkan berjiran dengannya dan sering bertemu di masjid. Atau di pejabat, sesama pegawai kerajaan bertemu dalam bilik mesyuarat, juga dalam kapal (pesawat) ketika semasa umrah atau melancong. Tetapi ada juga bersahabat rapat kerana ikhtiar yang diusahakan, inilah yang dikehendaki oleh Islam.

Semua manusia perlu mengetahui perkara tersebut. Persahabatan dalam agama berlaku setelah diusahakan seperti dalam bahagian kedua ini. Tuhan beri pahala disebabkan usaha ikhtiar manusia, bukannya kerana dirinya daripada keturunan keluarga Islam. Allah SWT hendak beri syurga suatu yang amat berharga kepada manusia. Justeru ia bukanlah secara kebetulan sebaliknya membabitkan jihad dan usaha gigih.


Artikel ini merupakan tazkirah pena YAB Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Lawati blog beliau http://blogtokguru.com