Wednesday, June 2, 2010

HAK MUSLIM SALING MEMBANTU DAN TIDAK SAKITI SESAMA MEREKA

Sebahagian daripada hak Muslim ialah merasa sayang untuk Muslim apa saja yang kamu sayangi untuk diri sendiri. Apa yang kamu kehendaki orang lakukan untuk dirimu, demikianlah juga sepatutnya kamu lakukan untuk Muslim lain. Begitu juga menjadi hak Muslim membenci apa juga yang dibenci sebagaimana kamu membencinya. Tidak melakukan kepada orang lain sebagaimana kamu benci orang lain lakukan ke atas dirimu.
Sabda Rasulullah saw membuat bandingan antara seorang mukmin dengan mukmin lain melalui sabdanya yang bermaksud: ‘Perbandingan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain dari segi kasih mesra di hati dan bergilir emosi kasih sayang ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggota sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam’.
Terdengar jerit tangis umat Islam tertindas di pelbagai pelusuk alam, tetapi tidak kedengaran saudaranya yang terdekat atau yang jauh datang bantu meredakan derita tangisan tersebut. Ini menunjukkan kebanyakkan umat Islam belum upaya meningkat ke tahap Mukmis, seperti yang disabdakan oleh Nabi saw. Jika Mukmin mereka pasti turut merasai demam dan tidak tidur malam, kerana memikirkan untuk bantu saudaranya yang tertindas itu. Andainya mereka di tahap Mukmin mesti bergegas datang walaupun jauh, jika tidak terdaya hadirkan diri untuk menolong kerana halangan tertentu, sekurang-kurangnya mereka wujudkan dana atau apa saja untuk bantu meringankan penderitaan saudara Mukminnya itu.
Sekalipun berlainan warga negara, etnik dan warna kulit, hanya ibarat berlainan nama jenis anggota badan. Namun pada hakikatnya orang beriman di serata dunia adalah laksana tubuh yang satu. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ‘Orang Mukmin disamping Mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain’. Suatu yang amat jelas peranan orang Mukmin di sisi Mukmin yang lain, saling bantu membantu antara mereka ibarat binaan saling mengukuhkan struktur, antara beberapa bahan binaan dengan bahan binaan yang lain.
Hak orang Islam lagi antaranya ialah tidak menyakiti antara satu dengan yang lain, mahupun daripada jenis perbuatan ataupun ucap perkataan, sebagaimana dijelaskan oleh sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘Orang Islam sebenar ialah; orang Islam lain selamat daripada bencana lidahnya serta tangan dan kakinya. Orang beriman ialah orang yang aman daripada diri dan hartanya. Orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan dan menjauhinya’.
Lidahnya tidak diguna untuk mengata buruk, memfitnah juga tidak menipu dan mengadu domba, tangan serta kakinya tidak diguna untuk mencuri harta serta tidak menyakiti orang Islam lain. Jika orang lain tidak selamat dengan kewujudan manusia sebegini, bererti dia tidak memiliki ciri Islam sebenar. Ini kerana menurut Nabi saw orang Islam ialah orang yang menyerah kepada agama Allah dan memberi keselamatan.
Orang beriman ialah orang lain aman daripada diri dan hartanya, orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan akhlak dan akidah yang salah serta menjauhinya. Sabda Nabi saw yang bermaksud: ‘Tidak halal bagi orang Islam berbuat sesuatu yang boleh menimbulkan rasa gerun di hati orang lain’. Gerun mungkin dengan ugutan atau kata buruk berupa ancaman serta buat kezaliman dalam bentuk kekerasan yang boleh menimbulkan rasa takut dan gerun merupakan perkara yang dilarang oleh Islam kecuali hukuman Hudud yang dikehendaki oleh Allah SWT, supaya dilaksanakan ke atas penjenayah yang sudah disabitkan oleh mahkamah.
Sebahagian daripada tanggungjawab setiap orang sebagai ahli masyarakat ialah mesti tawaduk (berakhlak dan merendah diri) serta tidak takbur, membesar membanggakan diri walau setinggi mana ilmu yang dikuasai atau pangkat kedudukan dalam masyarakat. Apabila berhadapan sesama Islam hendaklah bersikap berakhlak dan merendah diri sama ada dari sudut tutur kata atau tingkah laku.
Hak orang Islam juga tidak mendengar segala buah mulut manusia antara satu sama lain, kerana buah mulut itu tidak semuanya memberi manfaat, bahkan boleh mencetuskan krisis sengketa dalam masyarakat. Tidak boleh sama sekali menyampaikan kata-kata yang didengar daripada seseorang kepada orang yang berkenaan. Sebaiknya segera ditegur semasa mendengar cemuhan jika faktanya tidak benar atau tinggalkan saja orang berkenaan agar tidak terbabit dalam perkara bercanggah dengan syarak.
Dijelaskan di dalam hadis Nabi saw yang bermaksud: ‘Tidak akan masuk syurga orang yang adu domba manusia (Qottatun)’. Amaran keras daripada Nabi saw kepada golongan melaga-lagakan manusia itu kerana dengan sikapnya yang buruk itu akan mendatangkan huru-hara, perbalahan dalam masyarakat. Dilarang keras bagi yang bersengketa hingga tidak bertegur sapa melebihi tiga (3) hari walaupun terlau marah. Allah SWT menjadikan manusia bersifat lemah dan kekurangan yang mungkin terjerumus ke jurang perbalahan, justeru diciptakan pula peraturan yang sesuai dengan sifat kekurangan yang ada pada manusia itu.
Lantaran sifat marah itu dikurniakan kepada manusia bermanfaat jika sesuai pada tempatnya, tetapi boleh menerbitkan perbalahan adalah hasil dari sifat tersebut. Selagi boleh, elakkanlah perbalahan. Tidak bertegur sapa akibat perbalahan dimaafkan oleh syarak sekiranya tidak melebihi tiga (3) hari, sebagai peraturan setimpal meraikan sifat manusia yang pemarah itu.